MBAPPE dikaitkan  dengan Real Madrid dan Liverpool. FOTO AFP
MBAPPE dikaitkan dengan Real Madrid dan Liverpool. FOTO AFP
Agensi

Paris: Kylian Mbappe menghangatkan lagi spekulasi perpindahan apabila berkata dia mungkin meninggalkan Paris Saint-Germain susulan kritikan kian meningkat di Perancis.

Bintang muda berusia 22 tahun itu meluahkan perasaan selepas skuad kebangsaannya mempamerkan aksi hambar ketika menang tipis 1-0 ke atas Bosnia.

Sebelum itu, mereka seri 1-1 dengan Ukraine dan hanya menang 2-0 ke atas skuad kerdil, Kazakhstan yang menyaksikan Mbappe terlepas penalti.

Masa depan Mbappe mula menimbulkan tandatanya ketika kontraknya bersama gergasi Perancis itu tamat pada musim panas akan datang.

Dia mengakui semakin terganggu dengan tajuk negatif di media Perancis.

Menurutnya seperti dilaporkan Mundo Deportivo: "Selepas beberapa ketika, sudah tentu kritikan ini memenatkan terutamanya ketika anda beraksi dengan pasukan di negara anda dan anda berikan segalanya untuk pasukan.

"Pada akhirnya, semua ini memenatkan. Beraksi untuk Perancis berbeza kepada pemain yang datang dari luar negara.

"Saya di sini sepanjang masa, beraksi untuk PSG dan skuad Perancis. Ia konteks berbeza dan saya tahu situasinya ketika sejak awal bersama kelab. Kita tunggu sahaja.

"Adakah ini akan pengaruhi keputusan saya untuk kekal di PSG pada musim panas? Sudah tentu.

"Tetapi bukan setakat itu sahaja. Paling penting apabila anda berasa selesa dan bagus di mana sahaja anda berada dan seronok setiap hari.''

Selain Real Madrid, khidmat Mbappe turut menjadi idaman pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 11:24 PM