AKSI Fofana meraikan gol kemenangan Monaco ketika menentang Lille.
AKSI Fofana meraikan gol kemenangan Monaco ketika menentang Lille.
AFP

Paris: Kemenangan 1-0 Monaco ke atas Lille awal pagi tadi menyebabkan Paris Saint-Germain perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu ini sebelum mengesahkan gelaran Ligue 1 Perancis.

Ousmane Dembele dan Kylian Mbappe kedua-duanya menjaringkan dua gol ketika PSG menang 4-1 di Lorient dalam perlawanan lebih awal sekali gus bermakna sebarang keciciran mata oleh Monaco yang menduduki tangga kedua mengesahkan kejuaraan milik skuad kendalian Luis Enrique.

Namun jaringan Youssouf Fofana pada babak kedua sudah cukup untuk Monaco meraih kemenangan keempat berturut-turut dan mengukuhkan cengkaman di tangga kedua.

Monaco satu-satunya kelab yang secara matematiknya boleh mengejar PSG dengan baki empat perlawanan tetapi peluang bergelar juara terlalu sukar susulan jurang 11 mata yang memisahkan kedua-duanya.

Skuad Enrique berpeluang mengesahkan kejuaraan pada Sabtu ini ketika mereka melayan kunjungan kelab bawahan Le Havre.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 1:36 PM