LALLANA (kiri) percaya bahawa The Reds akan kembali mantap musim depan. FOTO AFP
LALLANA (kiri) percaya bahawa The Reds akan kembali mantap musim depan. FOTO AFP
Agensi

London: Adam Lallana mempertahankan bekas kelabnya, Liverpool yang dijangka bakal kembali bangkit musim depan selepas berdepan musim sukar setakat ini di Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Reds melalui musim ini selaku penyandang juara EPL namun berdepan masalah kecederaan sejak dari awal selepas mereka kehilangan pemain seperti Virgil van Dijk dan Joe Gomez untuk tempoh jangka panjang.

Liverpool selepas itu mengalami penurunan prestasi bermula baki separuh musim dengan menyaksikan beberapa keputusan yang menyebabkan mereka terkeluar dari kelompok empat terbaik.

Sekarang pasukan bimbingan Jurgen Klopp berada di tangga ketujuh dengan mereka sedang berusaha untuk kembali ke kelompok empat terbaik.

Mereka juga sedang bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara selepas mara ke suku akhir dan diundi bertemu Real Madrid bulan depan.

Lallana yang meninggalkan Liverpool untuk menyertai Brighton and Hove Albion pertengahan tahun lalu percaya bahawa The Reds akan kembali mantap musim depan.

"Saya rasa sebabnya boleh dilihat oleh semua orang. Ia ternyata sangat berbeza musim ini ditambah pula dengan Covid-19. Semua orang tahu bahawa betapa pentingnya impak penyokong di Anfield.

"Masalah kecederaan yang menimpa mereka. Anda tidak dapat berselindung lagi. Ia bukan alasan. Saya kenal kebanyakan pemain dan masih lagi berhubung dengan mereka.

"Mereka tidak mahu menjadikan perkara berkenaan sebagai satu alasan tapi saya rasa itulah sebab utama mereka bergelut.

"Saya sangat yakin mereka akan kembali bangkit musim depan apabila mereka kembali mendapat semula pemain dan penyokong dibenarkan ke stadium," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 1:22 PM