LALLANA (kanan) alami cedera pangkal paha. FOTO/AGENSI
LALLANA (kanan) alami cedera pangkal paha. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Adam Lallana terpaksa diketepikan daripada skuad England menjelang pertembungan dengan Sepanyol dan Switzerland selepas pemain tengah Liverpool itu dipalit kecederaan pangkal paha.

Lallana dipanggil semula menyarung jersi kebangsaan bagi perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Sepanyol, Sabtu ini diikuti aksi melawan Switzerland di Leicester pada Selasa.

Tetapi Lallana mengalami kecederaan pangkal paha pada sesi latihan pertama England di St George Park, hari ini dan pulang ke Liverpool bagi menjalani ujian terhadap masalah berkenaan.

Ia menjadi sisi kecederaan terbaru yang dialami pemain berusia 30 tahun itu selepas turut terlepas aksi di Piala Dunia Russia susulan masalah kecergasan.

Lallana menghuni bangku simpanan Liverpool bagi empat aksi pembukaan Liga Perdana musim ini dengan satu-satunya penampilannya hadir menerusi gantian ketika menentang Crystal Palace.

“Adam Lallana sudah kembali ke kelabnya bagi penilaian lanjut terhadap kecederaan di pangkal pahanya,” kata kenyataan daripada Persatuan Bolasepak England.

“Pemain Liverpool itu menarik diri daripada sesi latihan lebih awal pada tengah hari ini dan tidak akan mengambil bahagian dalam perlawanan England selepas ini menentang Sepanyol dan Switzerland.”

Kecederaan Lallana menjadi satu lagi tamparan buat jurulatih England, Gareth Southgate yang sebelum ini kehilangan khidmat pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling susulan masalah belakang, semalam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 12:46 AM