Adam Lallana
Adam Lallana
AFP

BRIGHTON menandatangani bekas perancang tengah Liverpool, Adam Lallana dengan perpindahan percuma, awal pagi ini.

Lallana bekas pemain kebangsaan England, bersetuju dengan perjanjian tiga tahun bersama Brighton hanya 24 jam selepas tamat musim Liga Perdana.

Pemain berusia 32 tahun itu, yang kontraknya bersama Liverpool tamat selepas perlawanan terakhir mereka pada Ahad turut menjadi sasaran Everton, Leicester dan Burnley sebelum memilih untuk menyertai skuad kendalian Graham Potter.

"Adam sangat teruja menyertai kami, seseorang yang saya pasti disukai penyokong dan apabila keadaan kembali normal," kata Potter di laman web Brighton.

"Untuk memiliki pengalaman dan kualiti sepertinya di padang adalah tambahan yang hebat buat kami, dan saya tahu dia akan menjadi model ikutan buat pemain muda dalam skuad.

Ketika bersama Liverpool, Lallana menang Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Lallana yang memiliki 34 kap penampilan bersama England melakukan 22 penampilan bersama Liverpool dalam semua kejohanan musim ini.

Lallana melakukan 196 penampilan dalam Liga Perdana bersama Liverpool, menjaringkan 30 gol dan menghasilkan 28 bantuan gol selepas tiba dari Southampton pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 8:35 AM