LALLANA (kanan) terpaksa diketepikan selepas alami kecederaan otot. -Foto Reuters
LALLANA (kanan) terpaksa diketepikan selepas alami kecederaan otot. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Pemain Liverpool, Adam Lallana terlepas aksi pusingan keempat Piala FA menentang West Bromwich Albion di Anfield, hari ini.

Pemain tengah England itu tidak beraksi selama empat bulan akibat kecederaan paha sebelum ini dan selepas tujuh penampilan dalam liga musim ini dia mengalami kecederaan otot sekali gus diketepikan perlawanan menentang Baggies. .

“Adam Lallana ada masalah dan pastinya diketepikan perlawanan selepas ini,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, semalam.

“Kecederaannya tidak serius tapi kami enggan menanggung risiko,” katanya.

“Adam alami kecederaan berpanjangan sebelum ini dan perlu menyesuaikan diri terlebih dahulu dengan rentak perlawanan Liga Perdana. Kami berhati-hati menghadapinya tetapi tidak berjalan lancar.”

Lallana hanya beraksi satu perlawanan sejak kembali ke pangkuan pasukan pada penghujung November lalu.

James Milner juga mungkin tidak tersenarai menentang West Brom akibat kecederaan kaki. Bagaimanapun, berita baik buat The Reds apabila kapten Jordan Henderson bakal kembali beraksi selepas sebulan tersisih akibat kecederaan hamstring.

Sementara itu, enam pemain West Brom diserang selesema, menurut pengurus, Alan Pardew.

Ben Foster, Ahmed Hegazi, Gareth McAuley, Jay Rodriguez, Sam Field dan James McClean kurang cergas tetapi Pardew tetap mahu menurunkan barisan terkuat dan sedia menunggu sehingga ke saat terakhir menilai tahap kecergasan mereka.

Pardew meraikan kemenangan pertama sebagai pengurus West Brom selepas menewaskan Exeter City dalam pusingan ketiga Piala FA sebelum ini dan diikuti ke atas Brighton dan Hove Albion, awal bulan ini.

Bagaimanapun mereka masih lagi dalam zon penyingkiran dengan 24 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 1:37 PM