LALLANA (tengah) cedera ketika Reds menentang Palace. FOTO/AFP
LALLANA (tengah) cedera ketika Reds menentang Palace. FOTO/AFP
Reuters

LIVERPOOL: Kecederaan hamstring pemain tengah Liverpool, Adam Lallana tidak seteruk yang disangka dan dia mungkin kembali beraksi sebelum tamat musim ini, kata pengendali, Juergen Klopp.

Lallana mengalami kecederaan itu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

“Ia tidak seteruk yang kami sangka - beberapa minggu,” kata Klopp di laman web rasmi kelab http://www.liverpoolfc.com.

“Ada peluang tipis yang kami dapat menurunkannya kembali musim ini tetapi kami perlu menunggu, ia bukan masanya untuk terburu-buru dalam situasi ini.

“Ia bukan musim Adam Lallana setakat ini. Ia menjadikan musim ini lebih istimewa apabila anda memikirkan yang kami lalui tanpanya.”

Lallana, yang memanaskan bangku simpanan sepanjang babak pertama kempen kali ini selepas mengalami regangan otot paha sebelum musim bermula, hanya bermain sekali dalam aksi liga musim ini.

Pemain 29 tahun itu disenaraikan dalam skuad England ketika menentang Itali di Wembley pada aksi persahabatan minggu lalu, tetapi bergelut mendapatkan tahap kecergasan terbaik untuk Piala Dunia Jun ini.

Pengendali England, Gareth Southgate perlu mengumumkan skuad akhir 23 pemain untuk kejohanan di Russia itu sebelum 4 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 3:32 PM