MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (belakang, tiga, kiri) bergambar ketika ketika Pelancaran Liga SupaRimau di Arena Futsal FAM hari ini. FOTO Bernama
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (belakang, tiga, kiri) bergambar ketika ketika Pelancaran Liga SupaRimau di Arena Futsal FAM hari ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Sasaran untuk melihat negara melahirkan ribuan pemain bola sepak berbakat menjelang tahun 2030 menyaksikan pertandingan peringkat akar umbi dilancarkan buat kali pertama oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kejohanan yang diberi nama Liga SupeRimau FAM bakal menghimpunkan 300 pasukan membabitkan akademi bola sepak di seluruh negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, semua pasukan bertanding adalah akademi yang sudah berdaftar di bawah piagam SupeRimau sejak 2019 lalu.

Katanya, pengenalan liga akar umbi itu antara inisiatif badan induk terbabit dalam mencapai objektif dan misi Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 ataupun lebih dikenali dengan F:30.

"Sejak dilancarkan pada 2019, dua akademi bola sepak sudah memiliki keahlian emas, 19 akademi memiliki keahlian perak dan 90 akademi memiliki keahlian gangsa.

"Menerusi piagam akar umbi yang sejajar dengan Peta Hala Tuju FAM 2019-2030, akademi bola sepak seluruh negara akan berada di landasan tepat terutama di peringkat bola sepak akar umbi," katanya yang diberi tanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM.

Pada majlis itu, FAM turut mengumumkan usahasama penganjuran Liga SupeRimau FAM bersama dua syarikat iaitu Maxim Events dan Boost Juice Malaysia.

Liga SupeRimau FAM bakal menyaksikan penyertaan pemain cilik lelaki mahupun perempuan dari peringkat umur enam hingga 16 tahun dengan kempen dijadualkan bermula pada 12 dan 13 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 7:50 PM