NIK NAZMI NIK AHMAD 
NIK NAZMI NIK AHMAD 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Dalam kenyataan kepada media Nik Nazmi berkata, dia mengambil keputusan berkenaan berdasarkan minat mendalamnya terhadap bola sepak dan keinginan memenuhi potensi KLFA sebagai persatuan yang lebih profesional dan berintegriti.

“KLFA tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya menerusi kecemerlangan pasukan bola sepak utamanya dan pembangunan bakat muda,” kata Nik Nazmi.

“Kuala Lumpur mencatat nama sebagai pasukan yang berjaya khususnya pada akhir 1980an, apabila menjuarai liga sebanyak dua kali, (tahun 1986 dan 1988), menjuarai Piala Malaysia tiga musim berturut-turut (1986-1988) dan johan Piala FA (1993, 1994 dan 1999).

“Kejayaan ini berkait rapat dengan pembangunan pelapis, di mana ramai bakat serta tunas yang dilahirkan dari kalangan anak-anak jati Kuala Lumpur sendiri. Maka, pembangunan pelapis seharusnya merangkumi projek pembangunan akar umbi yang holistik -  sains sukan, pendedahan kepada jurulatih muda serta para pegawai teknikal.

“Kita juga tidak boleh mengetepikan profesionalisme dengan penswastaan pasukan menerusi pelesenan kelab yang dituntut oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Pasukan profesional Kuala Lumpur wajib mampu berdikari

dengan dana sendiri dan digerakkan secara berasingan daripada Pentadbiran Persatuan KLFA.”

 Nik Nazmi turut menekankan aspek hubungan dengan penyokong, termasuk Ultras, yang perlu diperkukuh, serta  jenama KL Hawks yang menjadi tarikan buat warga kota untuk terus menyokong skuad Kuala Lumpur.

“Di rantau ini kita ada contoh Buriram United di Thailand yang lebih kurang seusia dengan KLFA tetapi ditadbir seperti kelab bola sepak negara maju dari sudut pencapaian atas padang, pengkomersialan, hubungan dengan penyokong dan pembangunan akar umbi.

“Saya yakin saya dapat memainkan peranan untuk KLFA menjadi penyumbang kepada kejayaan Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 yang baru dilancarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 12:23 PM