RONALDO (kiri) berang apabila jaringannya tidak dikira walaupun bola sudah melepasi garisan gol, Portugal hanya seri 2-2 ketika bertemu Serbia. FOTO EPA
RONALDO (kiri) berang apabila jaringannya tidak dikira walaupun bola sudah melepasi garisan gol, Portugal hanya seri 2-2 ketika bertemu Serbia. FOTO EPA
Agensi

Paris: Insiden gol Cristiano Ronaldo dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Serbia dan Portugal tidak akan berlaku jika kedua-dua badan induk negara berkenaan bersetuju menggunakan teknologi garisan gol sebelum aksi bermula.

Ketua pasukan Portugal itu berang dan dilayangkan kad kuning di atas kelakuannya selepas usahanya pada masa kecederaan dalam perlawanan Kumpulan A Ahad lalu sia-sia selepas bola sudah melepasi garisan ketika cuba dikeluarkan Stefan Mitrovic.

Tanpa Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk dijadikan rujukan insiden berkenaan, pengadil meneruskan aksi dan menyaksikan Ronaldo meninggalkan padang beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan, malah dia juga membuang lilitan ketua pasukan ketika menuju ke terowong bilik persalinan.

"Keputusan untuk menggunakan teknologi garisan gol bagi kelayakan benua REropah tertakluk kepada kehendak badan induk bagi setiap perlawanan.

"Jika badan induk tuan rumah berhasrat menggunakan teknologi garisan gol, mereka juga harus mendapat persetujuan bertulis dengan persatuan pasukan pelawat," kata Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Pengadil perlawanan, Danny Makkelie memberitahu akhbar Portugal A Bola bahawa beliau sudah meminta maaf kepada jurulatih Portugal, Fernando Santos dan keseluruhan pasukan di atas kesilapannya.

"Apa yang boleh saya katakan ialah maaf kepada jurulatih dan keseluruhan pasukan mengenai apa yang berlaku.

"Sebagai pengadil kami sentiasa bekerja keras untuk membuat keputusan tepat. Apabila kami mendapat liputan media di atas perkara seperti ini, ia membuatkan kami langsung tidak gembira," katanya.

Santos berkata, ia langsung tidak boleh diterima apabila VAR gagal digunakan dalam aksi pada peringkat berkenaan namun UEFA Ahad lalu berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan sistem berkenaan sukar untuk dipasang ketika saingan kelayakan.

"Pada 2019, UEFA sebenarnya sudah memohon kepada FIFA untuk menggunakan VAR bagi aksi kelayakan Piala Dunia," kata UEFA dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 12:36 PM