ALEKSANDER CEFERIN
ALEKSANDER CEFERIN
Agensi

LONDON: Teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) akan digunakan bagi perlawanan Liga Juara-Juara dan Liga Europa musim ini, umum Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) hari ini.

Pada awalnya, teknologi berkenaan dijadualkan akan digunakan buat pertama kali dalam kejohanan berkenaan elit berkenaan bermula musim depan.

Tetapi badan induk itu berkata mereka akan menggunakannya ketika peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dan final Liga Europa.

VAR juga akan digunakan bagi perlawanan pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah dan final Kejuaraan Eropah Bawah 21 tahun tahun depan.

“Kami bersedia untuk menggunakan VAR lebih awal daripada dirancang kerana kami yakin ia akan memberi manfaat kepada kejohanan kami selain ia menyediakan bantuan yang penting untuk pegawai perlawanan dan membenarkan kami untuk mengurangkan keputusan tidak tepat,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin.

Teknologi VAR  digunakan bagi Piala Dunia 2018 dan akan diperkenalkan buat pertama kali di Liga Perdana Inggeris bagi kempen 2019-20.

Perlawanan pertama peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini akan berlangsung pada 12 Februari 2019 dengan final Liga Europa dijadual berlangsung pada 29 Mei.

England akan beraksi di pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah di Portugal pada Jun bersama tuan rumah, Belanda dan Switzerland.

VAR kemudian akan digunakan pada peringkat playoff Liga Juara-Juara musim depan selain Piala Super 2019.

“UEFA masih merancang untuk meneruskan penggunaan VAR di pusingan akhir Euro 2020 pada dan di liga Eropah bagi musim 2020-21 (peringkat kumpulan dan seterusnya) dan bagi final Liga Negara-Negara Eropah pada 2021,” tambah badan induk itu lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 10:37 AM