OLLIE Watkins meledak gol tunggal England ke atas Australia dalam aksi persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi. FOTO Agensi
OLLIE Watkins meledak gol tunggal England ke atas Australia dalam aksi persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi. FOTO Agensi
Agensi

London: Walaupun tanpa kelibat Harry Kane pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Australia awal pagi tadi, England tetap tampil mantap apabila jaringan tunggal Ollie Watkins memastikan The Three Lions menang 1-0.

Gareth Southgate yang merehatkan beberapa pemain utama dengan mempertaruhkan gandingan muda menyaksikan Watkins menggunakan peluang itu sebaiknya dan pemain Aston Villa itu muncul wira menerusi gol kemenangan pasukan.

Watkins meledak gol pada minit ke-57 pada aksi pemanas badan sebelum England turun beraksi menentang Itali dalam Kelayakan Euro 2024 Selasa ini.

"Dari awal saya memikirkan tentang jaringan dan berkata pada diri sendiri bahawa saya mahu melakukan sesuatu dalam perlawanan ini," kata Watkins.

Watkins antara peledak harapan dimiliki Southgate di bahagian hadapan selain Kane, di mana jurulatih itu sedang mempersiapkan pasukan untuk layak ke Euro di Jerman tahun depan.

"Saya sudah lama menantikan panggilan skuad kebangsaan kali ini selepas menunggu terlalu lama. Saya hanya perlu fokus dan beri yang terbaik dan menggunakan sebaiknya peluang diberi.

"Ada ramai penyerang bagus dalam pasukan yang mampu menjaringkan dan ia adalah soal bagaimana seseorang itu merebut peluang yang diberi," kata Watkins lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 9:36 AM