KANE (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Albania, Berat Djimsiti ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022. FOTO EPA
KANE (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Albania, Berat Djimsiti ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022. FOTO EPA
AFP

Tirana: Gareth Southgate mengakui England perlu mempertingkatkan prestasi walaupun Harry Kane berjaya menamatkan kemarau gol enam perlawanan untuk membantu pasukannya membenam Albania 2-0 di kelayakan Piala Dunia.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Southgate bergelut untuk memecah kebuntuan ketika berdepan lawan yang mempamerkan corak permainan teratur sehinggalah penyerang Tottenham itu meledak gol pada lewat separuh masa pertama di Tirana.

Ia gol antarabangsa pertama ketua pasukan England itu sejak meledak jaringan menentang Kosovo 500 hari yang lalu pada November 2019.

Kembali diletakkan dalam kesebelasan utama selepas direhatkan ketika membelasah San Marino 5-0 Khamis lalu, Kane sekarang ini sudah menjaringkan 33 gol ketika 52 penampilan bersama England.

Kane juga menjadi pencetus kepada jaringan Mason Mount pada separuh masa kedua tatkala England mencatat dua kemenangan dalam saingan Kumpulan I untuk mencari slot ke Piala Dunia 2022 Qatar.

Selepas menamatkan Piala Dunia 2018 sebagai penjaring terbanyak ketika membantu England mara sehingga ke separuh akhir, Kane berharap dapat mengemudi pasukannya meraih kejayaan di Euro 2020.

"Saya tidak gemar cara kami beraksi pada 15 minit terakhir, laju meluru ke depan sedangkan kami tidak perlu berbuat demikian. Saya gembira kami menang tapi masih ada beberapa bahagian perlu diperkuatkan.

"Kami harus terus melonjak dalam kumpulan ini. Ramai memperkatakan mengenai kami dan apa yang kami mampu lakukan namun jika kami mahu meraih kejayaan kami harus berada pada tahap tertinggi.

"Saya rasa kami mampu beraksi lebih baik. Mereka boleh menikmati kemenangan tapi saya rasa masih ada ruang untuk mempertingkatkan aksi," katanya.

Kane mengakui dia tidak pernah terkesan dengan kemarau gol ketika bersama England.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 8:15 AM