Pemain TFC II, (berjersi putih) mengasak kubu Kelantan FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ihsan TFC
Pemain TFC II, (berjersi putih) mengasak kubu Kelantan FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas seri 0-0 bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Keputusan seri itu adalah ketiga buat skuad TFC II selepas dua kali seri sebelum ini bertemu Kuching City FC dan Negeri Sembilan.

Pada perlawanan malam ini, kecemerlangan penjaga gol pelawat, Faridzuean Kamaruddin berjaya menyelamatkan pasukannya pulang kehampaan.

Sepanjang babak pertama, The Turtles mendominasi permainan dengan deretan percubaan tepat yang dimiliki skuad kendalian Badrul Afzan Razali tapi gagal diterjemahkan dengan jaringan.

TFC mendapat peluang pertama menerusi sepakan percuma Amirul Syazwan Nor Azmi pada minit kesembilan yang sedikit melepasi palang gol.

Tiga minit berselang, TFC II sekali lagi menguji benteng pelawat menerusi tandukan Masaki Watanabe, juga gagal menembusi gawang, begitu juga peluang diperolehi Muhamad Syafik Ismail dan Engku Nur Shakir Engku Yacob masih gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Skuad The Red Warriors yang lebih banyak 'berkampung' di laman sendiri hanya memperoleh satu peluang pada minit ke-23, tapi gagal disudahkan pemain import kelahiran Greece, Christos Intzidis.

Bersambung babak kedua, tandukan Mohammad Ramzi Sufian seharusnya menceriakan kem tuan rumah, tapi palang menjadi penyelamat.

Begitu juga tindakan susulan Engku Nur Shakir hasil bola muntah daripada dakapan penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-55 berjaya dihalang sekali lagi penjaga gol itu sekali gus terselamat pintu gol pelawat hinggalah perlawanan berakhir tanpa jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 11:34 PM