PEMAIN Barca meraikan jaringan kedua Coutinho (dua dari kanan). -Foto AFP
PEMAIN Barca meraikan jaringan kedua Coutinho (dua dari kanan). -Foto AFP
AFP

BARCELONA: Lionel Messi percaya Barcelona sudah membuktikan betapa mereka tetap berselera untuk menjuarai Piala Raja Sepanyol selepas membelasah Sevilla 6-1 sekali gus mara ke separuh akhir, awal pagi tadi.

Sevilla berjaya menewaskan Barcelona 2-0 dalam aksi pertama tetapi kelebihan itu hanya bertahan selama 31 minit di Nou Camp selepas Philippe Coutinho membuka tirai jaringan menerusi penalti sebelum Ivan Rakitic meledak gol kedua.

Barcelona semakin garang pada babak kedua apabila Coutinho menjaringkan gol kedua peribadi dalam perlawanan itu sebelum Sergi Roberto meledak gol keempat pasukan berkenaan tetapi Sevilla cuba bangkit menerusi gol dihasilkan Guilherme Arana.

Namun, Messi dan Luis Suarez melengkapkan kemenangan The Catalan apabila masing-masing menjaringkan satu gol sebelum tamat perlawanan.

Segelintir pihak merasakan Barcelona mungkin lega jika tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol bagi membolehkan mereka fokus terhadap aksi Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara tetapi Messi menegaskan prestasi ditunjukkan dalam perlawanan itu sudah menutup mulut pengkritik

“Ada yang mengatakan kami sanggup korban trofi ini, tetapi sebenarnya tidak. Pasukan ini mahu bersaing memburu semua tiga gelaran kerana ia sudah menjadi kewajipan kepada Barcelona setiap tahun,” kata Messi.

Barcelona yang juga juara bertahan mara ke separuh akhir buat kali sembilan berturut-turut dan semakin hampir bagi merekodkan gelaran kelima berturut-turut.

Pasukan itu menyertai Valencia dan Real Betis di separuh akhir.

Betis mara selepas menewaskan Espanyol 4-2 menerusi agregat manakala Valencia menyingkirkan Getafe, awal pagi semalam.

Real Madrid kemungkinan besar akan mengisi satu lagi tempat di separuh akhir selepas mereka menang 4-2 dalam aksi pertama ke atas Girona.  

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 10:43 AM