Hamada (kiri) bersama Morishima pada sidang media program ADP 2019. FOTO Ihsan Yakult
Hamada (kiri) bersama Morishima pada sidang media program ADP 2019. FOTO Ihsan Yakult
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bakat pemain muda Malaysia akan terus dicungkil dan diasah apabila pengeluar minuman kultur probiotik terkemuka dunia, Yakult (M) Sdn Bhd komited untuk meneruskan penganjuran Projek Impian Asean (ADP) 2021.

Meskipun dunia kini berdepan dengan pandemik Covid-19, Yakult Malaysia tidak mahu menjadikan wabak itu sebagai alasan dengan penganjuran kali ini lebih eksklusif untuk pemain dari Malaysia.

Menerusi 'Projek Impian Malaysia' (MDP), Yakult Malaysia memeterai perjanjian bersama pasukan dari Liga Jepun, Cerezo Osaka sebagai 'Rakan Strategik Asean' mereka untuk tempoh setahun lagi.

Majlis menandatangani persefahaman itu berlangsung secara maya dan dihadiri Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada bersama Presiden Cerezo Osaka, Hiroaki Morishima.

"Pihak kami bercadang untuk menjalankan program MDP pada tahun ini untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain dari Malaysia mendapatkan pengalaman bermain di luar negara.

"Kami berharap selepas pandemik ini selesai, program ini akan dapat dijalankan dengan baik," kata Hamada menerusi satu kenyataan media.

Bagi edisi kali ini, 15 pemain muda berbakat dari Malaysia yang terpilih akan mewakili Malaysia untuk dihantar ke Jepun bagi menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di bawah kendalian jurulatih Cerezo Osaka.

Sebagai rekod, Cerezo Osaka dengan kerjasama Yakult Malaysia sebelum ini berjaya menganjurkan ADP 2019 dengan memilih lima pemain muda berbakat Malaysia menimba ilmu dengan akademi bola sepak Cerezo Osaka di negara Matahari Terbit itu.

Selain itu, akademi bola sepak Cerezo Osaka juga menyertai Kejohanan Supermokh 2019 selain menjadi destinasi pemain muda Malaysia yang kini berkelana di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin dan tiga lagi rakannya menjalani latihan percubaan pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 12:56 PM