IBRAHIMOVIC (kiri) merapatkan kepalanya dengan Lukaku dalam insiden pergaduhan sebelum kedua-duanya dilayangkan kad kuning. FOTO EPA
IBRAHIMOVIC (kiri) merapatkan kepalanya dengan Lukaku dalam insiden pergaduhan sebelum kedua-duanya dilayangkan kad kuning. FOTO EPA
AFP

Milan: Gol di hujung saingan oleh Christian Eriksen membolehkan Inter Milan mara ke separuh akhir Piala Itali selepas mengalahkan AC Milan 2-1 dalam aksi seteru tetangga yang panas.

Perlawanan di San Siro itu dibayangi dengan insiden pergaduhan penyerang bintang, Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku, yang kedua-duanya berjaya mencetak nama sebagai penjaring, sebelum pemain kelahiran Sweden itu diperintah keluar padang pada separuh masa kedua.

Ibrahimovic memecah kebuntuan selepas setengah jam perlawanan berlangsung apabila melepaskan rembatan leret sebelum bola terkena tiang dan masuk ke dalam gawang.

Bagaimanapun, bekas rakan sepasukan Manchester United, Ibrahimovic dan Lukaku bergaduh terbabit dalam insiden pergaduhan sebelum aksi separuh masa pertama tamat.

Ibrahimovic mengejek Lukaku dengan ketawa di depan muka dan membuatkan pemain antarabangsa Belgium itu hilang sabar.

Kedua-dua mereka dilihat saling berperang mulut ketika menuju ke terowong bilik persalinan tatkala Lukaku yang berang terpaksa diredakan oleh rakan sepasukan.

Disebabkan insiden berkenaan kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning.

Ibrahimovic menerima kad kuning kedua selepas 15 minit perlawanan bersambung apabila menjatuhkan Aleksandar Kolarov.

Lukaku berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-71 selepas Rafael Leao mengasari Nicolo Barella.

Eriksen yang masuk sebagai pemain gantian ketika aksi berbaki dua minit menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan melalui sepakan percuma menarik.

Inter akan berdepan sama ada Juventus atau SPAL dalam aksi separuh akhir yang bakal berlangsung pada 3 dan 10 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:58 AM