ZIDANE (kanan) mahu anak buahnya segera bangkit menjelang perlawanan menentang Sevilla. FOTO Agensi
ZIDANE (kanan) mahu anak buahnya segera bangkit menjelang perlawanan menentang Sevilla. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane akan membawa pasukannya ke Sevilla bagi saingan La Liga hujung minggu ini dengan mengakui tidak berhasrat untuk meletak jawatan walaupun mencatat keputusan buruk sejak kebelakangan ini.

Madrid hanya menang sekali dalam La Liga sejak Oktober selain tewas kepada Shakhtar Donetsk pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu dan mesti menewaskan Borussia Moenchengladbach minggu depan untuk mara.

Mereka seri berdepan Villarreal, tewas kepada pasukan bawahan, Alaves dan dibelasah Valencia sejak kemenangan terakhir menyebabkan juara bertahan itu kini di kedudukan keempat, tujuh mata di belakang pendahulu, Real Sociedad.

"Saya memiliki kekuatan diperlukan untuk menukar situasi dan saya akan lakukan apa sahaja, sama seperti pemain.

"Kami perlu meningkat dan memikirkan mengenai perlawanan berikutnya. Kami melalui tempoh yang teruk, tiada apa yang boleh dilakukan selain memikirkan perlawanan berikutnya dan melaluinya.

"Dalam keadaan yang sukar, anda perlu tunjukkan perwatakan sebenar," kata Zidane selepas kekalahan di Ukraine.

Akhbar tempatan sudah mengaitkan bekas bos Tottenham, Mauricio Pochettino selain bekas penyerang Madrid, Raul untuk jawatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 1:13 PM