ZIDANE (kiri) boleh menghela nafas lega walaupun hanya mencatat kemenangan tipis. FOTO AFP
ZIDANE (kiri) boleh menghela nafas lega walaupun hanya mencatat kemenangan tipis. FOTO AFP
AFP

Madrid: Zinedine Zidane yang berada dalam tekanan berkata kemenangan 1-0 Real Madrid di Sevilla awal pagi tadi adalah sangat penting selepas pengendali kelahiran Perancis itu berada dalam situasi genting.

Penjaga gol Sevilla, Bono tertolak masuk percubaan Vinicius Junior ke gawang sendiri pada separuh masa kedua, membolehkan pasukan bimbingan Zidane melonjak ke tangga ketiga liga walaupun sebelum ini tumpas dua perlawanan dalam tiga aksi terakhir.

"Tiga mata ini adalah sangat penting buat kami. Kami berhak mencatat kemenangan, menentang lawan yang sangat baik dan mampu memberikan masalah pada bila-bila masa saja. Kami berjaya melepasinya.

"Sejak kebelakangan ini kami berdepan saat sukar, hari ini kami harus menikmatinya, bergembira," kata Zidane.

Sejak Madrid kalah 0-2 kepada Shakhtar Donetsk pertengahan minggu ini, yang menyebabkan peluang mereka di Liga Juara-Juara masih lagi tidak menentu, media Sepanyol melaporkan bekas pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino dan bekas penyerang Madrid, Raul akan mengambil alih tugas Zidane.

Zidane melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama selepas aksi di Ukraine dengan Casemiro dan Vinicius dimasukkan menggantikan Martin Odegaard dan Marco Asensio.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 8:38 AM