ZIDANE sebelum ini masih mempunyai baki kontrak sehingga 2022. FOTO AFP
ZIDANE sebelum ini masih mempunyai baki kontrak sehingga 2022. FOTO AFP
AFP

Madrid: Zinedine Zidane dilaporkan meletakkan jawatan sebagai jurulatih Real Madrid berkuatkuasa serta-merta, hanya beberapa hari selepas kelab Sepanyol itu tunduk kepada Atletico Madrid dalam kejuaraan La Liga.

Pengendali dari Perancis itu meninggalkan Madrid selepas kempen mengecewakan bersama juara 13 kali Eropah itu, yang turut tewas kepada Chelsea pada separuh akhir Liga Juara-Juara dan gagal memenangi trofi itu buat pertama kali dalam 11 musim.

Sebelum ini Zidane, yang kontraknya masih berbaki hingga tahun 2022, menafikan spekulasi media yang melaporkan beliau memberitahu pemain mengenai hasratnya meninggalkan kelab akhir musim ini.

"Bagaimana saya akan memberitahu pemain-pemain saya yang saya akan pergi sekarang? Ia satu pembohongan.

"Saya fokus kepada saingan musim ini. Masih berbaki satu perlawanan dan kami akan memberikan segala-galanya. Saya hanya akan memikirkan apa yang berlaku pada aksi terakhir ini," kata Zidane selepas kemenangan 1-0 di Athletic Bilbao.

Bagaimanapun Zidane seakan memberi isyarat apabila berkata: "Selebihnya kita akan lihat di akhir musim ini."

Beliau yang pernah menjulang Piala Dunia 1988 itu mula mengendali Real pada Januari 2016 dan membawa pasukan itu menjuarai La Liga 2017 dan hatrik Liga Juara-Juara sebelum meletak jawatan pada 31 Mei 2018.

Zidane kembali menerajui pasukan itu pada tahun 2019, memenangi gelaran La Liga keduanya pada tahun 2020 dan Piala Super Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 3:17 PM