PERTAHANAN Real, Marcelo jelas kecewa dengan aksi yang menyebabkan mereka tumpas 1-4. FOTO Agensi
PERTAHANAN Real, Marcelo jelas kecewa dengan aksi yang menyebabkan mereka tumpas 1-4. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Real Madrid dibelasah 1-4 di Valencia selepas Carlos Soler meledak hatrik melalui sepakan penalti ke atas penyandang juara La Liga itu.

Real sebelum itu mendahului menerusi Karim Benzema tetapi memberikan empat gol mudah buat Valencia di Mestalla, termasuk tiga sepakan penalti dan satu gol sendiri Raphael Varane.

"Tidak ada alasan dan sebab munasabah. Ia permainan yang teruk dan hari yang mengecewakan," kata pengendali Real, Zinedine Zidane.

Ini adalah kali pertama Real dibolosi empat gol sejak dibelasah 1-5 oleh Barcelona pada Oktober 2018.

Selepas kekalahan berturut-turut kepada Cadiz dan Shakhtar Donestsk bulan lalu, Zidane meredakan tekanan ke atasnya dengan merakam kemenangan ke atas Barca, Huesca dan Inter Milan.

Namun kekalahan kepada Valencia kembali memberikan tekanan ke atas Real dan Zidane menjelang rehat perlawanan antarabangsa, dengan mereka kini di tangga keempat, empat mata di belakang pendahulu Real Sociedad.

Tambah malang lagi Benzema terpaksa dikeluarkan akibat mengalami kecederaan di bahagian pangkal paha.

"Semuanya berlaku dalam keadaan serentak kepada kami," kata Zidane yang juga bekas pemain Real.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:38 PM