LOPETEGUI (dua dari kiri) bercakap sesuatu dengan Bale. FOTO/AGENSI
LOPETEGUI (dua dari kiri) bercakap sesuatu dengan Bale. FOTO/AGENSI
Agensi

MADRID: Bos Real Madrid, Julen Lopetegui yakin Gareth Bale mampu mengisi kekosongan di jentera serangan kelab itu selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo.

Bale dari Wales membayangkan untuk meninggalkan juara Eropah itu sejurus meledak dua gol ketika final Liga Juara-Juara Mei lalu selepas sering dipinggirkan bekas jurulatih, Zinedine Zidane.

Kekecewaan pemain berusia 29 tahun itu mencetus spekulasi perpindahan ke Manchester United tetapi peletakan jawatan Zidane dan perpindahan Ronaldo ke Juventus boleh mengubah kembali fikirannya.

Justeru Lopetegui yang juga bekas jurulatih Sepanyol dan pernah beraksi di Real, merancang untuk memanfaatkan sepenuhnya kemampuan Bale ketika mengemudi kelab gergasi itu.

“Apabila saya bersetuju untuk melatih kelab ini, Cristiano masih milik Real Madrid tapi sejurus itu dia meluahkan keinginannya untuk berpindah,” kata Lopetegui.

“Sebagai jurulatih, ia cabaran yang mengujakan untuk menjadikan pasukan ini kompetitif tanpa Cristiano. Saya menghormatinya sebagai seorang pemain paling penting dalam sejarah Real Madrid, kelab menghargai legasinya dengan memudahkan perpindahannya.

“Kami yakin Bale akan mengharungi tempoh yang hebat dan kami meletakkan harapan tinggi terhadapnya. Kami akan bekerja dengannya supaya dia dapat mencapai prestasi terbaik.”

Real dikaitkan dengan beberapa pemain bintang bagi menggantikan pemenang lima kali Ballon d’Or itu antaranya Neymar, Eden Hazard dan Kylian Mbappe selain penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 3:18 PM