EFFENDI Jagan menganggap pengurangan bajet kelab dalam Liga M mungkin berlaku akibat kekurangan tajaan. FOTO NSTP
EFFENDI Jagan menganggap pengurangan bajet kelab dalam Liga M mungkin berlaku akibat kekurangan tajaan. FOTO NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Perbelanjaan kelab Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan sudah pastinya menurun dengan anggaran pemotongan peruntukan sehingga mencecah 40 peratus.

Hal ini bermakna pada tahun depan kemungkinan kita tidak tidak akan menyaksikan kejutan atau pembelian mewah membabitkan pasukan Liga M berikutan rata-rata daripada mereka melakukan penjimatan bagi menampung kos operasi pasukan selain penangan pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan Action Football Asia Sdn Bhd Effendi Jagan Abdullah menganggap pengurangan bajet kelab dalam Liga M mungkin berlaku akibat kekurangan tajaan selain perjalanan saingan musim depan yang masih belum pasti.

Beliau berkata, pasukan juga masih belum boleh mengharapkan kutipan tiket sebagai antara punca pendapatan mereka kerana belum pasti sama ada penyokong dibenarkan masuk ke stadium atau tidak.

"Pasukan seperti Kedah, Kelantan, dan Selangor memang antara yang mampu menjana pendapatan daripada kutipan tiket. Tapi kita sarankan semua pasukan tidak memasukkan hasil kutipan tiket dalam bajet musim depan.

"Sekarang ini hasil tiket buat 'zero' dulu dan kalau penyokong dibenarkan ke stadium, itu dikira bonus. Tapi jika kita masukkan hasil itu dalam bajet sekarang dan jika penyokong tak dibenarkan masuk stadium, bajet asal akan terjejas.

"Pasukan kena belanja secara berhemah. Penaja pun bergantung kepada keuntungan syarikat mereka dan kalau syarikat tak untung bagaimana nak taja dengan jumlah besar.

"Bila berlaku pengurangan bajet, gaji pemain juga mungkin berkurang. Jika pemain import sebelum ini menerima USD10,000 (RM41,000), musim depan mereka mungkin akan terima gaji USD7,000 (RM29,000). Tapi kita semua faham dengan situasi semasa," katanya di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar berkata, ketika ini kita mendengar kebanyakan pasukan sudah mulakan rundingan berkaitan gaji pemain.

"Semua terpalit dengan kesan Covid-19 dan jika mengikut situasi sekarang ini, pemain perlu buat keputusan cepat sebab jika tidak pasukan akan ambil pemain lain. Kalau pemain berstatus bintang tak apa, mereka masih ada ruang untuk meminta gaji tinggi.

"Pasukan juga sudah berkurangan dan pemain pula ramai. Pemain FELDA United sahaja, berapa ramai yang tengah cari pasukan baharu. Kita tak salahkan pasukan kerana situasi yang berlaku sekarang kita tidak jangka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 9:56 PM