PEMAIN TFC, Argzim Redzovic (kiri) cuba merampas bola daripada pemain PJ City FC, Filemon Anyie Standly pada pusingan pertama saingan Piala Malaysia 2020 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Bernama
PEMAIN TFC, Argzim Redzovic (kiri) cuba merampas bola daripada pemain PJ City FC, Filemon Anyie Standly pada pusingan pertama saingan Piala Malaysia 2020 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Bernama
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengurus Terengganu FC (TFC), Ahmad Shahrizal Yahya meletakkan harapan yang tinggi agar status Piala Malaysia musim ini dimuktamadkan segera oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Hal ini kerana ia akan memberi kesan kepada kontrak pemain dan juga barisan jurulatih sama ada saingan edisi ke-100 itu dibatalkan ataupun diteruskan.

Semalam status trofi tertua di Asia yang bermula pada 1920 dengan nama Piala Malaya terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang belum pasti oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali Kelantan, Perlis dan Pahang bermula 9 November 2020.

Dengan penangguhan itu, perlawanan suku akhir yang sepatutnya bakal bermula pada 12 dan 13 November terpaksa dibatalkan.

"MFL perlu memutuskan secepat mungkin status saingan itu kerana beberapa pasukan termasuk Terengganu FC sudah merancang barisan pemain musim depan selain ia memberi peluang kepada pemain yang digugurkan mencari pasukan baharu.

"Lagipun kontrak hampir kesemua pemain termasuk tonggak import dan tempatan akan tamat pada 30 November ini. Saya tidak lihat Piala Malaysia dapat diadakan pada Disember ini," katanya di Gong Badak hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizal menjelaskan jika Piala Malaysia dibatalkan ia tidak merugikan TFC, malah menguntungkan kerana menjamin slot ke Piala AFC musim depan.

"Jika Piala Malaysia dibatalkan kita pasti slot ke Piala AFC akan diberikan kepada TFC kerana kita berada di kedudukan ketiga Liga Super.

"Bagaimanapun daripada segi impak kewangan yang orang ramai tidak nampak dalam industri bola sepak kita kerugian berkenaan dengan kutipan tiket perlawanan di tempat sendiri melebihi RM100,000 kerana stadium kosong manakala berbelanja hampir RM30,000 bagi perlawanan di tempat lawan.

"Jadi MFL perlu membuat keputusan sewajarnya berhubung status Piala Malaysia," katanya yang menjelaskan buat masa ini latihan TFC berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:40 PM