KUALA Lumpur automatik mara ke pusingan kedua. FOTO FB Kuala Lumpur Hawks
KUALA Lumpur automatik mara ke pusingan kedua. FOTO FB Kuala Lumpur Hawks
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur mampu tersenyum pada perlawanan pertama Piala Malaysia apabila skuad The City Boy mendapat slot 'bye' sekali gus menyaksikan mereka sudah menempah tiket ke pusingan kedua.

Keputusan terbabit berikutan Kuala Lumpur diundi bertemu Sabah yang tidak akan terbabit dalam saingan Piala Malaysia susulan tidak mendapat pelepasan keluar dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana mereka kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain Kuala Lumpur yang dilihat mendapat laluan mudah, juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut tidak menghadapi masalah ke laluan seterusnya apabia berdepan wakil Liga Premier, Kuching FA.

Namun paling menarik untuk diperkatakan bagi pusingan pertama kalah mati tanpa format timbal balik musim ini ekoran pandemik Covid-19 adalah pertemuan Kedah dengan Pahang.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yang dalam misi menebus kekecewaan tahun lalu tumpas 0-3 pada aksi final kepada JDT percaya pertembungan dengan Pahang bakal menyajikan aksi sengit di mana tahun lalu mereka layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan apabila agregat terikat 8-8.

"Saya rasa bukan sahaja pemain tetapi peminat dari kedua-dua pasukan secara keseluruhan pasti menanti aksi ini kerana pertemuan yang paling menarik pada pusingan pertama. Kekalahan kami kepada Pahang pada Liga Super sebenarnya satu hikmah agar pemain saya tidak akan ambil sambil lewa dan memberikan yang terbaik pada aksi itu nanti," katanya.

Sementara ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui anak buahnya sudah bersedia untuk mengharungi saingan TM Piala Malaysia yang menawarkan slot Piala AFC 2021.

"Prestasi Pahang sebenarnya berada di tahap memuaskan biarpun beberapa keputusan kurang menyebelahi kami, maka Piala Malaysia akan menjadi medan kebangkitan kami dan sasaran saya mahu membawa Pahang muncul juara," katanya.

Selain itu, keputusan undian turut menyaksikan Terengganu FC (TFC) bertemu PJ City FC disusuli juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor menentang Melaka, Pulau Pinang bertemu Felda United FC dan UiTM FC menentang Kelantan.

Bagi ketua jurulatih TFC Nafuzi Zain, beliau mengakui bukan tugas mudah untuk mereka melepasi halangan awal dalam misi memburu gelaran selepas juara 2001 itu tumpas lima kali di pentas final termasuk pada 2018.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 7:15 PM