LEANDRO Velazquez (kiri) dan Corbin Ong (kanan) giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Kuching FA di Stadium Larkin, malam esok. FOTO RIZAL MOHD NOOR
LEANDRO Velazquez (kiri) dan Corbin Ong (kanan) giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Kuching FA di Stadium Larkin, malam esok. FOTO RIZAL MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu berwaspada dengan corak permainan pendatang baharu saingan Piala Malaysia, Kuching FA apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada saingan Pusingan 16 kalah mati di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok

Walaupun JDT pernah menewaskan kelab dari Sarawak itu 4-0 pada aksi pra-musim di Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan persahabatan tertutup, 11 Januari lalu, namun kemenangan itu tidak boleh dijadikan ukuran memandangkan pasukan dari Borneo itu masih membuat persiapan mengharungi kempen Liga Perdana.

Yang pasti skuad kendalian Benjamin Mora akan turun dengan barisan terkuat untuk memastikan langkah ke suku akhir piala berprestij itu berjaya dilaksanakan sebelum mereka berangkat ke Qatar 14 November ini bagi mengharung kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) Zon Timur yang bermula 18 November hingga 13 Disember ini.

Malah Mora juga sentiasa mengingatkan barisan pemain betapa setiap perlawanan yang diharungi skuad Harimau Selatan bukanlah tugas mudah tatkala pasukan yang turun menentang juara bertahan piala berprestij itu akan beraksi dengan bermati-matian.

"Setiap perlawanan yang kami harungi sentiasa sukar. Tidak kira pasukan itu kuat atau tidak, kami tetap akan berwaspada dan memberi persembahan terbaik untuk capai kemenangan," kata Mora.

Walaupun JDT berdepan pasukan yang pernah beraksi di liga bawahan itu Liga Rakyat, empat tahun namun kekuatan Kuching FA yang dibarisi tiga pemain import tidak boleh dipandang rendah.

Tanpa kelibat Safawi Rasid yang kini bersama kelab Portimonense SC, posisi sayap kanan bakal diisi pemain muda, Ramadhan Saifullah Usman dan posisi sayap kiri akan diperkuatkan oleh Gonzalo Cabrera dan penyerang Diogo Luis Santo akan mengetuai barisan serangan.

Bukan sahaja kemenangan diburu skuad Harimau Selatan, malah aksi menentang Kuching FA akan menjadi perlawanan persiapan terakhir anak didik Mora bagi mengharungi kempen ACL dan kemenangan bakal meningkatkan lagi momentum permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 2:26 PM