Forestieri (kiri) dan Bergson (kanan) menjadi taruhan terbaik bagi menggempur benteng NSFC. -FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Forestieri (kiri) dan Bergson (kanan) menjadi taruhan terbaik bagi menggempur benteng NSFC. -FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan mengambil sikap berwaspada apabila bertandang ke Paroi untuk berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada pertembungan dua pasukan tangga teratas Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam esok.

Walaupun skuad bimbingan Benjamin Mora tampak semakin mantap tatkala berjaya mencipta sejarah bola sepak negara layak ke pusingan 16 pasukan saingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL), tidak bererti mereka harus mengambil sikap sambil lewa berdepan skuad kendalian K Devan.

Malah Mora sendiri tetap menghormati keupayaan NSFC yang melonjak ke tangga teratas liga tatkala pasukan itu dinaikkan pangkat ke saingan liga elit domestik tapi memperagakan aksi terbaik untuk berada di puncak liga.

Katanya, barisan pemain JDT akan turun dengan semangat yang baharu selepas menempuh saingan ACL yang penuh ranjau berliku sehingga layak ke saingan kalah mati buat pertama kali dan ia juga menjadi perangsang utama bagi memburu kemenangan.

"Kami akan turun seperti biasa dan berusaha memburu kemenangan bagi melonjak kembali ke tangga teratas tapi tetap berhati-hati dengan penampilan corak permainan pasukan lawan yang pasti akan turun habis-habisan memburu kemenangan di laman mereka sendiri.

"Status Natxo (Insa) belum pasti lagi sama ada boleh diturunkan atau sebaliknya selepas mengalami kecederaan ketika menentang Ulsan Hyundai pada aksi terakhir Kumpulan I, baru-baru ini tapi kami ada pengganti yang mampu galas tugas di posisi tengah," katanya.

Mora juga berharap kelibat Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri bakal menjadi taruhan terbaik skuad Harimau Selatan untuk menggempur benteng pertahanan skuad Hoben Jang Hoben yang masih belum tewas selepas mengharungi enam perlawanan liga.

Tambah pengendali kelahiran Mexico itu, beberapa pemain NSFC harus diawasi selain kelibat Herold Goulon yang sudah menjaringkan lima gol buat pasukan itu malah barisan serangan mereka juga mampu beri ancaman terhadap benteng JDT.

"Kita baru mengharungi empat aksi liga dan semestinya mahu kembali mempamerkan corak permainan konsisten untuk kembali berada di puncak liga malah akan menurunkan kesebelasan terbaik apabila berdepan NSFC selepas kesemua pemain mendapat rehat yang mencukupi," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 1:51 PM