JDT tidak menyambung kontrak Diogo. FOTO Zaih Ahmed
JDT tidak menyambung kontrak Diogo. FOTO Zaih Ahmed
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pasukan itu tidak menyambung kontrak pemain import Diogo Luis Santo bagi mengharungi kempen Liga Malaysia pada musim depan.

Namun pemain kelahiran Brazil yang akan kembali berhijrah ke Liga Thailand akan bersama skuad Harimau Selatan untuk saingan Piala Malaysia dan tidak menyertai skuad itu mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi Zon Timur di Qatar yang bermula 18 November hingga 13 Disember ini.

Tunku Ismail berkata, JDT sudah ada pengganti buat Diogo dan pemain itu dari Brazil, Camilio da Silva yang pernah beraksi untuk kelab FC Tijuana di Liga Utama Mexico (Liga MX) dan akan menyertai JDT pada musim depan.

"Diogo akan bersama JDT bagi mengharungi kempen Piala Malaysia dan selepas itu dia akan kembali menyertai kelab di Thailand. Untuk kempen ACL, Fernando Rodriguez akan bersama pasukan JDT untjuk saingan ACL di Qatar.

"Kami dah lama nak bawa di ke JDT kerana corak permainannya sesuai dengan corak permainan JDT. Tapi akibat bajet saya kurang ketika itu, maka terpaksa tunggu dua tahun sebelum semuanya diselesaikan selepas kontraknya tamat dan dia akan ke JDT musim depan," kata Tunku Ismail pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat JDT, di sini.

Mengulas mengenai persiapan skuad Harimau Selatan bagi saingan Piala Malaysia dan ACL yang akan berlangsung serentak, Tunku Ismail menegaskan bukan pasukan kedua yang akan bersaing dalam kancah piala berprestij.

Sebaliknya, dua kejuaraan yang membabitkan juara Liga Super tujuh musim itu akan seimbang yang menyaksikan beberapa pemain skuad Johor Darul Ta'zim II akan diserapkan ke skuad utama untuk bergabung bersama pemain JDT yang tidak bersama pemain lain ke Qatar.

Mengenai status pengendali JDT, Benjamin Mora, Tunku Ismail mengesahkan jurulatih dari Mexico itu dilanjutkan kontrak selama dua tahun selepas beliau berjaya menyerap falsafah permainan yang diinginkan.

"Kita boleh tengok daripada keputusan yang diraih JDT apabila Mora mengendalikan skuad itu. Malah beliau sentiasa menjaga kehormanian setiap pemain di bilik persalinan dan juga memberi ruang kepada pemain muda beraksi dalam skuad utama," katanya.

Tunku Ismail juga mengesahkan bekas pemain FELDA United, Danial Amier Norhisham sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai JDT dan sedang mengintai pemain bek kiri untuk menguatkan lagi pasukan itu.

"Saya ambil dia kerana boleh beri pendedahan terbaik kepadanya malah akan menyenaraikan pemain itu dalan skuad JDT bagi kempen ACL musim depan.

"FELDA United minta saya bayar RM1 juta untuk mendapatkan Daniel dan saya anggap harga itu tidak masuk akan kerana dia pemain muda dan kami tunggu sampai kontrak dia habis. Itu yang saya buat," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 8:14 PM