PEARLY (kiri) dan Thinaah tak mampu sumbang mata untuk skuad negara. FOTO ASWADI ALIAS
PEARLY (kiri) dan Thinaah tak mampu sumbang mata untuk skuad negara. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Skuad badminton wanita negara terlepas peluang untuk muncul juara Kumpulan Y Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selepas tumpas pada aksi terakhir peringkat kumpulan 1-4 ketika berdepan Thailand di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) sebentar tadi.

Walaupun tumpas, Malaysia tetap mara ke suku akhir esok mengiringi Thailand, namun bakal berdepan tugas sukar akan bertemu juara Kumpulan W, X dan Z.

Menurut penyumbang mata tunggal negara, Wong Ling Ching, walaupun mereka tumpas kepada Thailand namun sentiasa boleh memberi tentangan bagi setiap perlawanan.

"Ada aksi yang diheret sehingga ke rubber set, malah mata pula dekat-dekat. Saya rasa boleh untuk kejar mereka. Jurang tidak jauh, cuma kena perlu pertingkatkan lagi," kata pemain berusia 21 tahun itu.

Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei tidak mampu untuk menghalang asakan Supanida Katethong walaupun dia cuba bangkit di set kedua sebelum tumpas 13-21, 24-26.

Hasrat untuk melihat mereka bangkit melalui gandingan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak menjadi kenyataan apabila kalah 22-20, 15-21, 19-21 di tangan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Thailand mengesahkan kemenangan selepas perseorangan kedua mereka, Busanan Ongbamrungphan tidak berdepan masalah untuk mengalahkan perseorangan kedua negara, K Letshanaa 21-17, 21-18.

Skuad wanita negara terus hanyut apabila Thailand menambah mata keempat melalui gandingan adik-beradik, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard selepas mengalahkan Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing 21-17 21-18.

Dalam perlawanan perseorangan terakhir, Ling Ching berjaya menghadiahkan mata saguhati negara dengan mencatat kemenangan 19-21, 21-15, 21-16 ketika berdepan Pornpicha Choeikeewong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 2:42 PM