HODAK (kiri) memberi arahan kepada pemainnya. FOTO/FAIL
HODAK (kiri) memberi arahan kepada pemainnya. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan


SKUAD negara berjaya melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 selepas menewaskan Myanmar 1-0 di Jawa Timur, hari ini.

Jaringan A Shivan Pillay pada minit ke-17 itu juga bukan sahaja membolehkan anak buah Bojan Hodak muncul juara Kumpulan B tetapi juga mengekalkan rekod tanpa kalah dengan melakar tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

Mereka membuka kempen dengan menundukkan Kemboja 2-0 sebelum meraih kemenangan dengan keputusan sama ke atas Brunei pada aksi kedua.

Timor Leste nyata mendatangkan masalah kepada anak buah Hodak apabila mereka sekadar terikat 1-1 sebelum menewaskan Myanmar di Stadium Gelora Delta pada aksi terakhir kumpulan.

Menanti skuad negara di peringkat separuh akhir yang akan berlangsung Khamis ini adalah tuan rumah, Indonesia dengan satu lagi aksi kelompok empat terbaik itu menemukan juara bertahan, Thailand yang akan berdepan Myanmar.

Edisi 2017 menyaksikan skuad B-19 negara tewas di tangan Thailand 2-0 pada aksi final.

Skuad negara belum pernah menjadi juara dengan pencapaian terbaik muncul naib juara dalam lima edisi iaitu 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 9:31 PM