JUN HAO turun selaku perseorangan pertama di BATC tewas di tangan Weng Hong Yang. -FOTO Saifullizan Tamadi
JUN HAO turun selaku perseorangan pertama di BATC tewas di tangan Weng Hong Yang. -FOTO Saifullizan Tamadi
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui tidak berasa tertekan walaupun dia hanya tahu akan diturunkan selaku perseorangan pertama hanya beberapa jam sebelum final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Jun Hao, yang tidak berjaya menyumbangkan mata pertama ketika menentang China sebentar tadi selepas tumpas 19-21, 17-21 kepada Weng Hong Yang, mengakui menjadi pemain perseorangan pertama atau kedua tetap sama.

"Saya rasa tetap juga kena main (tak kisah perseorangan pertama atau kedua). Saya hanya persiapkan diri seperti biasa walaupun tahu mengenai perkara berkenaan pagi ini," kata Jun Hao.

Jun Hao terpaksa menggalas tugas selaku perseorangan pertama, selepas Lee Zii Jia mengalami masalah kesukaran bernafas akibat resdung selepas aksi separuh akhir dengan Jepun semalam.

Seorang lagi perseorangan lelaki, Ng Tze Yong pula bergelut dengan kecederaan belakang yang dialaminya sejak Terbuka Malaysia bulan lalu.

Ditanya mengenai aksi sebentar tadi dengan Hong Yang, Jun Hao berkata rekod kemenangan sebelum ini di Masters Malaysia adalah sejarah lama.

"Sekarang adalah aksi berpasukan tetapi saya rugi juga melepaskan beberapa mata tetapi saya tetap bersedia hari ini walaupun dapat mengetahui perlu menjadi pemain perseorangan pertama pada saat akhir," katanya.

Selain Jun hao turut menggalas tugas selaku perseorangan ialah Eogene Ewe dan pemain beregu lelaki, Haikal Nazri diletakkan harapan selaku perseorangan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:30 PM