REXY cuba untuk bina satu pasukan yang mantap. FOTO Bernama
REXY cuba untuk bina satu pasukan yang mantap. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Walaupun pelbagai dugaan dihadapi skuad Piala Thomas ketika ini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tetap meletakkan sasaran juara pada saingan yang berlangsung di Chengdu, China bermula 27 April sehingga 5 Mei depan.

Nampak agak mustahil, Rexy bagaimanapun berkata, sebagai negara antara kuasa badminton, skuad negara perlu membuktikan reputasi mereka dengan memenangi trofi berprestij itu.

"Seperti yang semua boleh lihat termasuklah rakan-rakan media juga menerusi video yang dimuat naik oleh BAM (Persatuan Badminton Malaysia), kita tunjukkan kepada semua apa yang kita buat untuk persiapan Piala Thomas.

"Kita mahu semua orang faham bahawa kita tidak pernah sesekali memandang mudah saingan Piala Thomas kali ini. Biarpun orang mungkin lihat atau baca bahawa pasukan kita seperti kelam-kabut, tetapi kita tunjukkan yang kita tetap fokus.

"Dengan masa yang agak suntuk, kita cuba untuk bina satu pasukan yang mantap. Kita boleh lihat, semua pemain mempunyai semangat yang positif.

"Aktiviti kita sepanjang latihan pusat ini bermula dari 6 pagi sehinggalah 9 malam. Semua aktiviti yang kita jalankan adalah untuk meningkatkan tahap semangat satu pasukan kerana kita ada sasaran untuk Piala Thomas kali ini.

"Sebagai negara besar badminton, kita harus buat persiapan terbaik untuk memenangi trofi kejuaraan," kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara, hari ini.

Kem badminton negara berdepan beberapa isu dengan yang pertama adalah apabila pemain profesional lelaki negara, Lee Zii Jia meminta bayaran bagi menyarung jersi kebangsaan atas dasar komersial dan dipersetujui oleh BAM.

Kemudian, TeamLZJ dalam satu kenyataan berkata, Zii Jia sudah memulakan latihan secara sendiri bermula Isnin lalu, iaitu sebaik sahaja pulang dari Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China sekali gus tidak menyertai sesi latihan pusat di ABM.

Hari ini pula, Rexy mengesahkan pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong terpaksa digugurkan kerana perlu menjalani pembedahan kali kedua selepas terdapat keadaan yang sangat jarang berlaku susulan pembedahan pertama pada Februari lalu yang dikesan awal minggu ini.

Tempat Tze Yong akan digantikan oleh pemain beregu, Choong Hon Jian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:35 PM