BAM tidak mendedahkan secara terperinci jumlah bayaran yang akan diterima oleh Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
BAM tidak mendedahkan secara terperinci jumlah bayaran yang akan diterima oleh Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Lee Zii Jia mencipta sejarah baharu dalam kem badminton negara apabila menjadi pemain profesional pertama akan dibayar wang pampasan setiap kali bermain untuk Malaysia dalam kejohanan utama.

Untuk makluman, Zii Jia akan menerima bayaran itu untuk setiap perlawanan disertainya sepanjang kempen Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Menurut Pengarah Pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai, pihaknya tidak mendedahkan secara terperinci jumlah bayaran yang akan diterima oleh Zii Jia dan perbincangan bersama Team LZJ mengambil sedikit masa yang menjadi antara faktor kelewatan untuk menyenaraikannya dalam skuad negara ke Chengdu.

Jelasnya, ini pertama kali dilakukan oleh BAM namun bagi Michelle, ia adalah satu tindakan yang perlu dilakukan untuk menamatkan penantian 32 tahun bagi memenangi Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992.

"Ia bukan soal Zii Jia bermain untuk negara atau tidak, tetapi lebih kepada jumlah pampasan yang diperlukan untuk dia memakai jersi kebangsaan.

"Jersi kebangsaan ditaja penaja kami (Yonex), disebabkan dia bukan sebahagian daripada BAM, saya fikir ia adil untuknya.

"Zii Jia mendapat manfaat sebelum ini, tetapi sekarang dia bukan sebahagian daripadanya, kami terpaksa mengambil sedikit masa untuk mencapai persetujuan berhubung jumlah yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.

"Ia sesuatu yang baharu untuk kami, kami berdepan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ia sedikit berbeza daripada Datuk Lee Chong Wei walaupun dia bersama Yonex ketika pasukan kebangsaan ditaja oleh Victor.

"Chong Wei masih pemain kami ketika itu. Selain itu, bagi Zii Jia, dia adalah pemain pertama yang meninggalkan BAM pada kemuncaknya prestasinya.

"Sasaran kami adalah untuk memenangi Piala Thomas. Kami tidak pergi hanya untuk melepasi peringkat kumpulan.

"Selepas 32 tahun, negara berharap untuk kembali

menjuarai Piala Thomas. Seperti Tan Sri (Mohamad Norza Zakaria), presiden BAM jelaskan, kami memerlukan semua pemain terbaik dalam pasukan," katanya.

Terdahulu teka-teki mengenai pemain perseorangan lelaki yang berada di ranking ke-11 dunia itu sama ada akan bersama skuad negara atau tidak di Piala Thomas akhirnya terlerai apabila dirinya disenaraikan bagi menggalas cabaran Malaysia di China nanti.

Selain Zii Jia Tze Yong bersama tiga lagi pemain perseorangan lelaki akan diperkuatkan oleh Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagi acara beregu lelaki, beregu negara yang kini berada di ranking ke lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan membawa cabaran utama sambil dibantu oleh Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 5:41 PM