ZII Jia seperti nampak hilang kepercayaan pada diri sendiri. FOTO NSTP
ZII Jia seperti nampak hilang kepercayaan pada diri sendiri. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui bahawa prestasi pemain perseorangan negara Lee Zii Jia sepanjang tiga kejohanan di Thailand tidak cukup bagus namun belum tiba masanya untuk mengalah.

Katanya, beliau akan berusaha sehabis baik mempersiapkan Zii Jia dengan kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik akan bermula Mac ini.

Daripada pemerhatiannya sepanjang di Thailand, permainan Zii Jia tampak goyah dan paling ketara, jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata, Zii Jia seperti nampak hilang kepercayaan pada diri sendiri.

"Satu reviu akan dilakukan selepas ini. Mungkin kita perlu tukar atau tambah dari cara latihan kerana nampaknya beberapa lawan sudah dapat membaca permainan Zii Jia.

"Zii Jia pula nampak seperti tidak yakin dan ragu-ragu bila nak buat keputusan. Tapi saya akui sepanjang tiga kejohanan di Thailand ini, penampilan Zii Jia tidak bagus.

"Apapun saya harus terima dan akan berusaha lebih keras lagi untuk mempersiapkan Zii Jia. "Untuk Olimpik kami akan melakukan persediaan yang terbaik," katanya.

Pada aksi pertama di Yonex Terbuka Thailand, pemain berusia 22 tahun itu tewas di suku akhir kepada pemain pilihan kedua dari Taiwan, Chou Tien Chen.

Dia bagaimanapun terkandas seawal pusingan pertama dalam aksi Toyota Terbuka Thailand kepada pemain India, Sameer Verman.

Manakala dia kalah ketiga-tiga perlawanan di kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok dan paling mengecewakan ketika turun beraksi perlawanan kedua peringkat kumpulan, tewas kepada Viktor Axelsen 15-21, 4-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 11:12 PM