ZII Jia kembali duduki ranking ke-11 dunia.
ZII Jia kembali duduki ranking ke-11 dunia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia semakin hampir kembali ke tempat asalnya iaitu 10 terbaik dunia apabila kini berada di kedudukan ranking ke-11 dunia.

Menerusi kemaskini daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini menyaksikan Zii Jia melonjak tiga anak tangga berbanding kedudukan minggu lalu di tempat ke-14.

Kedudukan terbaharu itu adalah susulan kejayaannya muncul juara Terbuka Artik di Vantaa, Finland, Ahad lalu.

Dia yang bergelut dengan prestasi tidak menentu sebelum ini menamatkan kemarau kejuaraan selama 17 bulan dengan menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong di pentas final.

Kali terakhir Zii Jia bergelar juara ketika menjuarai saingan Terbuka Thailand pada Mei tahun lalu.

Walaupun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara namun kedudukan ranking Tze Yong melonjak dua anak tangga apabila kini berada di tempat ke-17.

Ia kedudukan terbaik dalam kerjaya pemain berusia 23 tahun itu selepas mempamerkan peningkatan prestasi yang positif sejak awal tahun ini.

Zii Jia dan Tze Yong masing-masing berpeluang untuk terus memperbaiki kedudukan ranking dunia mereka apabila beraksi di Terbuka Denmark yang bermula, hari ini.

Bagaimanapun, mereka hanya akan memulakan cabaran esok dengan Zii Jia dijadual menentang pemain India, Priyanshu Rajawat di pusingan pertama manakala Tze Yong bertemu Lu Guang Zu dari China.

Sementara itu, kedudukan ranking beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di kedudukan keempat dunia manakala pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin kekal di tangga kesembilan.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah kekal di tangga kesembilan, begitu juga beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 6:34 PM