Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas mencatat kemenangan straight set ke atas lawan dari Taiwan, Chou Tien Chen dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang berlangsung di Ningbo, China.

Turun di pusingan kedua sebentar tadi, pemain pilihan ke lapan kejohanan itu hanya memerlukan 39 minit saja untuk menundukkan lawannya.

Zii Jia mempamerkan aksi lebih konsisten apabila berjaya menewaskan lawan di set pertama dengan keputusan 21-15.

Namun begitu, di set kedua, Zii Jia dipaksa bekerja lebih keras apabila Chou mempamerkan perubahan dari segi corak permainan dan sering bertukar mata namun wakil negara itu segera menafikan kebangkitan yang cuba dilakukan dengan kemenagan 21-17.

Menanti di suku akhir nanti adalah pemenang di antara wakil dari Indonesia, Jonatan Christie atau Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong.

Untuk rekod, Zii Jia pernah muncul juara di BAC 2022 yang berlangsung di Manila, Filipina dan pada ketika itu, pemain berusia 26 tahun itu menewaskan lawannya dari Indonesia, Jonatan Christie 21-17, 23-21 di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 1:09 PM