TANG JIE-EE WEI tetap mahu beri yang terbaik di BAC. -FOTO NSTP
TANG JIE-EE WEI tetap mahu beri yang terbaik di BAC. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun persiapan ke Sukan Olimpik Paris menjadi keutamaan ketika ini, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tetap serius menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bermula 9 hingga 14 April ini.

Jelas Tang Jie, sebagai seorang yang profesional, dia serta Ee Wei akan sentiasa memberikan yang terbaik pada setiap kejohanan disertai termasuklah BAC.

"Memang keutamaan kami adalah Olimpik tetapi jika ada kejohanan lain yang perlu disertai, setiap pemain pastinya tak mahu kalah.

"Saya tidak katakan kami pergi ke BAC untuk memanaskan badan sahaja. Kalau ada peluang muncul juara, kenapa tidak kami cuba capai peluang itu," katanya.

Bagaimanapun Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan ujian getir di BAC apabila akan bertemu pasangan ranking pertama dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong seawal pusingan pertama.

Rekod pertemuan nyata tidak memihak kepada Tang Jie-Ee Wei yang tewas ketiga-tiga perlawanan sebelum ini dengan kali terakhir di Masters Jepun, November tahun lalu.

Namun Tang Jie-Ee Wei yang pernah mengejutkan beberapa pasangan utama dunia sebelum ini percaya sekiranya mereka dapat mempamer aksi terbaik pada hari perlawanan, segala-galanya tidak mustahil.

"Saya tak boleh meramalkan apa yang akan berlaku tetapi hanya mampu berikan yang terbaik pada hari perlawanan.

"Perkara paling penting adalah lakukan persediaan untuk perlawanan itu bersama fikiran yang berbeza. Seperti saya katakan tadi, setiap pemain mahukan kemenangan, begitu juga dengan kami," kata Tang Jie.

Pasangan negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu terlepas untuk meraih gelaran Terbuka Switzerland selepas tewas kepada rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada aksi final, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 1:21 PM