PEARLY-THINAAH tundukkan Qing Chen-Yi Fan dalam aksi straight set untuk mara ke suku akhir Seluruh England. -FOTO NSTP
PEARLY-THINAAH tundukkan Qing Chen-Yi Fan dalam aksi straight set untuk mara ke suku akhir Seluruh England. -FOTO NSTP

Oleh Aida Adilah Mat

[email protected]

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah akhir menemui rentak apabila melakar kejutan menewaskan beregu pertama dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan untuk mara ke suku akhir Seluruh England.

Pearly-Thinaah yang kini menghuni ranking ke-15 dunia mempamerkan aksi memukau apabila hanya memerlukan 49 mini untuk menewaskan jaguh China itu, 22-20,21-16.

Aksi di Utilita Arena, Birmingham juga menyaksikan Pearly-Thinaah berjaya meraih kemenangan pertama ke atas lawan mereka itu dari enam pertemuan sebelum ini.

Pearly-Thinaah bermula dengan baik pada set pertama apabila berjaya mengemudi perlawanan sebelum Qing Chen-Jia Yi Fan berjaya mengikat kedudukan sembilan sama.

Aksi agresif pasangan negara bagaimanapun membolehkan mereka kembali mendahului dan menamatkan perlawanan 22-20 di set pertama.

Momentum kemenangan teruskan di set kedua namun aksi mendebarkan disajikan oleh kedua-dua pasangan apabila mengejar mata demi mata sebelum Pearly-Thinaah berjaya menjarakkan kedudukan 17-13 dan menang 21-16.

Pearly-Thinaah selepas ini akan berdepan pasangan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto yang menewaskan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 14-21, 21-10, 21-16.

Sementara itu langkah beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai terhenti di pusingan kedua apabila tewas kepada wakil China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 12-21, 5-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 12:03 AM