PEARLY-THINAAH tunduk dalam pertarungan tiga set ke atas pasangan nombor satu dunia dari China, Qing Chen-Yi Fan. -FOTO Badminton Photo
PEARLY-THINAAH tunduk dalam pertarungan tiga set ke atas pasangan nombor satu dunia dari China, Qing Chen-Yi Fan. -FOTO Badminton Photo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah melakar kejutan ke atas pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan tidak menjadi kenyataan apabila mereka tumpas di pusingan kedua Terbuka Korea, hari ini.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah berjaya memberikan tentangan sengit ke atas Qing Chen-Yi Fan dalam apabila mengheret aksi ke rubber set sebelum kalah 17-21, 21-17, 19-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu.

Pearly-Thinaah yang berada di ranking ke-11 dunia tidak pernah menang ke atas ke atas lawan dari Tembok Besar itu apabila tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum ini.

Menurut jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How, sikap terburu-buru kedua-dua pemain berkenaan bagi mematikan serangan lawan memakan diri.

"Bagi saya prestasi mereka pada kejohanan kali ini adalah positif mengambil kira ini adalah kejohanan pertama mereka sejak kali terakhir Terbuka Singapura (bulan lalu)," katanya.

Ujar Thien How, di set pertama ketika mendahului 15-8 atau 15-9, anak buahnya terlalu cepat mahu matikan serangan lawan dan menyebabkan mereka terikut rentak permainan beregu China itu.

"Saya harap mereka dapat belajar daripada kekalahan ini dan buat persiapan untuk menghadapi kejohanan seterusnya," kata Thien How.

Sebagai rekod, Pearly baru saja pulih daripada kecederaan siku yang dialaminya ketika saingan Terbuka Singapura.

Tugasan seterusnya buat Pearly-Thinaah adalah Terbuka Jepun yang akan berlangsung dari 25 hingga 30 Julai ini.

Sementara itu, dua beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut gagal melepasi pusingan kedua.

Soon Huat-Shevon tewas di tangan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 17-21, 13-21 manakala Kian Meng-Pei Jing tunduk kepada pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Dechapol Puvaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 9-21, 7-21.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain profesional negara, S Kisona hampir mengejutkan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi apabila memberikan tentangan sengit dalam pertarungan tiga set sebelum akur dengan kekalahan 22-20, 14-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 1:44 PM