AKSI pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei pada hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei pada hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Skuad badminton wanita negara menepati ramalan mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) sebentar tadi selepas berjaya menumpaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0.

Dalam aksi Kumpulan Y itu, Malaysia memerlukan kemenangan untuk mengesahkan slot ke pusingan kalah mati selepas Thailand mengalahkan negara Timur Tengah itu dengan keputusan sama semalam.

Pada perlawanan menentang UAE yang dibarisi pemain naturalisasi hari ini, Malaysia meraih mata pertama menerusi perseorangan pertama, Goh Jin Wei yang menewaskan Nurani Ratu Azzahra 21-13, 21-9 sebelum K Letshanaa menggandakan kedudukan selepas menang 21-11, 21-14 ke atas S Madhumitha.

Kemenangan Malaysia disahkan menerusi seorang lagi pemain keseorangan, Wong Ling Ching yang mengalahkan SP Sreeyuktha 21-4, 21-12 manakala beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah menang mudah 21-4, 21-5 ke atas Nayonika Rajesh-Madhumita.

Gandingan Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia apabila menghadiahkan mata kelima pasukan negara dengan menewaskan RS Zainaba-Sreeyuktha 21-4, 21-14.

Pada aksi terakhir esok menentang Thailand, Malaysia harus mencatatkan kemenangan jika mahu mencari undian mudah di suku akhir.

"Ia bukan aksi pemanas badan, semua orang sudah memberikan aksi terbaik untuk negara. Jadi kami hanya mahu memberi fokus kepada diri sendiri (tanpa perlu memikirkan kemampuan pasukan lawan)," kata Thinaah yang juga ketua pasukan.

Sementara itu, Pearly mengakui mereka hanya beraksi seperti biasa dan juga memberi fokus kepada perancangan perlawanan.

"Ini juga adalah salah satu acara berpasukan yang saya dapat bermain dengan Thinaah selepas BATC 2022 tidak dapat bergandingan bersama-sama kerana dia dijangkiti Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 1:13 PM