AARON (kiri) dan Wooi Yik menyumbang mata pertama negara ketika menumpaskan Indonesia 3-2 di aksi suku akhir Piala Sudirman 2021. FOTO EPA
AARON (kiri) dan Wooi Yik menyumbang mata pertama negara ketika menumpaskan Indonesia 3-2 di aksi suku akhir Piala Sudirman 2021. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad badminton negara berjaya mara ke separuh akhir Piala Sudirman 2021 selepas menumpaskan Indonesia 3-2 di suku akhir sebentar tadi di Vantaa, Finland.

Kejayaan Malaysia itu menamatkan kemarau terkandas di suku akhir sebanyak tiga kali berturut-turut pada tiga edisi terakhir sebelum ini dan sekurang-kurangnya mampu mengulangi pencapaian 2009 di Guangzhou.

Kemenangan ke atas negara jiran itu bakal menyaksikan Malaysia sekali lagi berdepan Jepun di separuh akhir malam ini (9 malam) mengulangi aksi semalam ketika dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang menyaksikan skuad berpasukan campuran negara tumpas 1-4.

Aksi cemerlang Malaysia bermula dengan gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengulangi pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo apabila menumbangkan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-12, 21-15.

Bagaimanapun, Indonesia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila perseorangan wanita negara, S Kisona tumpas 20-22, 21-18, 19-21 kepada Gregoria Mariska Tunjung.

Skuad negara kembali di depan apabila memperoleh mata kedua melalui perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Anthony Ginting 21-11, 21-16.

Indonesia sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 dan kali ini perlu bergantung harap kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo beregu wanita, Greysia Polii-Apriyani Rahayu yang mengerah segala keringat untuk menumbangkan pasangan negara, Pearly Tan-M Thinaah 22-20, 17-21, 18-21.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See muncul wira selepas tenang untuk menumbangkan pasangan nombor empat dunia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16.

"Saya gembira dengan kemenangan ke atas Ginting. Semua orang memberikan yang terbaik. Saya sentiasa ingin memberikan aksi terbaik," kata Zii Jia selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, Kisona mengakui sedikit sedih selepas gagal menyumbangkan mata buat negara, namun dia mengakui persembahannya semakin meningkat dari masa ke semasa.

"Dalam perlawanan apa saja boleh berlaku. Tapi saya sedikit kecewa gagal memenangi perlawanan hari ini," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 itu.

Satu lagi aksi separuh akhir bakal menyaksikan juara bertahan, China akan berdepan Korea Selatan.

China mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Denmark 3-2, manakala Korea Selatan berjaya mengetepikan Thailand juga dengan keputusan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 3:32 AM