JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan. FOTO OWEE AH CHUN
JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan. FOTO OWEE AH CHUN
Amirul Fazli Zulkafli


Petaling Jaya: Akademi Badminton Malaysia (ABM) mengambil keputusan menggugurkan tiga pemain perseorangan lelaki negara selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk prestasi di kejohanan antarabangsa sepanjang pada tahun 2023.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, keputusan untuk keluarkan pemain berkenaan bukan sesuatu yang mudah tetapi ia perlu dilakukan juga dengan tiga pemain berkenaan adalah Lee Shun Yang, Chia Jeng Hon dan Rex Hooi Shao Heng.

Jelasnya, ABM memberikan peluang kepada Shun Yang untuk kekal berlatih tetapi hanya sebagai rakan regu kepada pemain bagi membantu meningkatkan prestasi atlet sedia ada.

"Ini kali pertama saya rasakan penggunguran paling sukar kebiasaannya kita hanya gugurkan satu dua sahaja. Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian prestasi mereka dalam kejohanan serta berdasarkan data yang kita peroleh.

"Shun Yang dalam latihan bagus tapi bila di dalam kejohanan, dia tidak boleh bermain, tidak tahu masalah mental atau keyakinan diri. Mungkin juga kerana tekanan terlalu tinggi dan disebabkan itu kita tawarkan Shun Yang sebagai rakan pelatih.

"Kita juga memberi tawaran yang sama kepada Jeng Hon untuk menjadi rakan sepelatih di ABM namun masih menunggu keputusan sama ada dia terima atau sebaliknya," katanya.

Tambah Hendrawan, ABM turut skuad membahagikan pemain perseorangan lelaki kepada dua kumpulan iaitu Gred A yang terdiri daripada Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan pemain remaja yang baru dinaikkan ke skuad senior, Eogene Ewe.

Sementara pemain yang berada di kumpulan Gred B terdiri daripada Shaqeem Eiman Shahyar, Chua Kim Sheng, Ong Ken Yon, Ong Zhen Yi dan Jacky Kok.

"Kita ada ramai pemain perseorangan lelaki, mungkin antara lapan atau 10 orang pemain tetapi tidak semuanya boleh jadi juara.

"Tetapi kita juga perlu pemain yang menyokong sistem latihan kami, contohnya kita fokus Leong (Jun Hao), Justin (Hoh), (Ng) Tze Yong, dalam masa yang sama kita juga memerlukan orang yang boleh menyokong mereka dalam menyediakan kualiti latihan juga.

"Mereka masih boleh memperbaiki kedudukan mereka untuk dimasukkan dalam Gred A, dengan syarat mereka menunjukkan keputusan yang bagus apabila kita menghantar mereka menyertai kejohanan luar," katanya.

Perbezaan antara dua gred itu adalah pemain yang berada dalam Gred B akan dikurangkan penyertaan mereka ke kejohanan antarabangsa iaitu sekitar empat sehingga enam kejohanan setahun sahaja, berkuat kuasa pada 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 12:46 PM