PENARIKAN diri Aaron-Wooi Yik disahkan BAM. FOTO NSTP
PENARIKAN diri Aaron-Wooi Yik disahkan BAM. FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri sebelum turun ke pusingan pertama Terbuka Perancis 2023, sebentar tadi.

Keputusan itu membolehkan pasangan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin peroleh kemenangan tanpa perlu mengeluarkan peluh sekali gus mara ke pusingan kedua untuk bertemu beregu China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu di pusingan 16.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu hantaran di Facebook, mereka mengesahkan perkara berkenaan dan berharap bekas juara dunia itu dapat kembali untuk perlawanan seterusnya dalam keadaan lebih baik.

"Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri dari Terbuka Perancis 2023. Kami menantikan kemunculan mereka dengan lebih segar dan lebih bertenaga dari sebelum ini," katanya menerusi kenyataan rasmi di Facebook BAM .

Kedua beregu ini pernah bertemu sebanyak lapan kali dan lima kemenangan memihak kepada Aaron-Wooi Yik.

Pada minggu lalu, beregu utama nombor satu negara itu menamatkan penantian gelaran di Siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Terbuka Denmark sejak digandingkan pada 2017.

Ketika aksi final, Aaron-Wooi Yik tidak berhadapan masalah besar untuk menundukkan pasangan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana untuk menang straight set 21-13, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 6:54 PM