Aksi Lee Zii Jia bersaing di Seluruh England. FOTO Ihsan Victor
Aksi Lee Zii Jia bersaing di Seluruh England. FOTO Ihsan Victor
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat Lee Zii Jia untuk mara ke pentas final Seluruh England sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu tidak kesampaian.

Pada aksi separuh akhir sebentar tadi, jaguh perseorangan profesional negara itu terpaksa akur tewas 13-21, 21-12, 19-21 kepada lawannya dari India, Lakshya Sen.

Perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu menyaksikan Zii Jia gagal bermula baik di set pertama sehingga pada satu ketika ketinggalan agak jauh sebelum terpaksa akur tewas 13-21.

Bagaimanapun pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu tenang mengawal permainan di set kedua dan kali ini dia pula meninggalkan jauh lawannya sebelum berjaya menyamakan kedudukan.

Set penentuan menyaksikan kedua-dua pemain mempamerkan aksi lebih sengit dengan kedudukan mata sentiasa rapat namun Lakshya lebih tenang sebelum mengesahkan kemenangan pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam 16 minit itu.

Kejayaan Lakshya mara ke pentas final juga mengulangi pencapaian di Terbuka Jerman minggu lalu sebelum tewas kepada pemain perseorangan Thailand, Kunlavut Vitidsarn di pentas final.

Bagi Zii Jia pula, dia sekali lagi kandas di separuh akhir selepas meraih pencapaian sama di Terbuka Jerman.

Ia juga adalah kekalahan kedua Zii Jia di tangan Lakshya selepas kali pertama pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 11:27 PM