ZII Jia atasi cabaran pemain India.
ZII Jia atasi cabaran pemain India.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dua pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong akan membuktikan siapa lebih hebat apabila mereka bertemu pada aksi suku akhir Terbuka Australia, esok.

Zii Jia mengesahkan slot suku akhir selepas menewaskan wakil India, Mithun Manjunath 21-13, 12-21, 21-19 pada aksi pusingan kedua, sebentar tadi.

Kemenengan Zii Jia itu cukup bermakna kerana berjaya merobohkan tembok untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik selepas tewas pada saingan awal di lima kejohanan sebelum ini.

Pemain berusia 25 tahun itu menempah slot untuk bertemu dengan Tze Yong yang terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas mengejutkan pemain nombor lima dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 22-20, 21-15.

Berbanding Zii Jia, ini kali kelima Tze Yong berjaya melangkah ke suku akhir dalam kejohanan musim ini selepas Seluruh England, Terbuka Switzerland, Terbuka Thailand dan Terbuka Korea.

Perlawanan itu juga boleh disifatkan sebagai 'penentuan' siapa lebih layak bergelar pemain perseorangan lelaki nombor satu negara memandangkanZii Jia ketika ini berada di kedudukan ke-17 manakala Tze Yong ke-21.

Sebagai rekod, kedua-dua pemain tidak pernah bertemu antara satu sama lain dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 5:55 PM