AKSI Aaron dan Wooi Yik ketika menentang beregu India. FOTO badmintonphoto
AKSI Aaron dan Wooi Yik ketika menentang beregu India. FOTO badmintonphoto
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu juara dunia negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke pusingan kedua Terbuka Jepun.

Beregu nombor satu negara itu mendapat kemenangan mudah apabila lawan dari India M R Arjun-Dhruv Kapila menarik diri pada set pertama dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Yoyogi di Tokyo, hari ini.

Aaron- Wooi Yik ketika itu berada di kedudukan selesa apabila mendahului 15-5 sebelum pasangan India meminta untuk menarik diri susulan kecederaan dialami Arjun.

Arjun difahamkan terpaksa menarik diri berikutan mengalami kecederaan belakang.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan akan berdepan beregu Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Sementara itu hasrat Goh Jin Wei untuk meneruskan perjuangan tidak kesampaian apabila tewas di pusingan pertama kepada wakil Singapura, Yeo Jia Min 16-21, 21-18, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 9:59 PM