AKSI Pearly (kanan) dan Thinaah pada final, semalam. FOTO AFP
AKSI Pearly (kanan) dan Thinaah pada final, semalam. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Lupakan apa yang sudah lepas dan kini fokus perlu segera beralih kepada temasya Sukan Asia, Hangzhou, China.

Itu saranan jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How yang gembira dengan prestasi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah biarpun mereka gagal menjulang kejuaraan di Terbuka Hong Kong semalam.

Tegas Thien How, semua pemain yang beraksi inginkan kemenangan namun nasib kurang menyebelahi beregu negara dan mujur kecederaan pergelangan kaki kanan dialami Pearly di set ketiga tidak serius.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan prestasi mereka.

"Bila kalah mesti ada yang kurang dan kekurangan itu akan kita perbaiki apabila mereka pulang nanti.

"Kami akan terus fokus kepada kejohanan seterusnya iaitu Sukan Asia selepas ini," katanya.

Semalam, juara Juara Terbuka Perancis itu terpaksa akur tewas 21-14, 22-24, 9-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama satu jam 14 minit kepada pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Malang bagi beregu negara di set ketiga apabila Pearly tergelincir ketika mahu menyelamatkan bulu tangkis mengakibatkan dia mengalami kecederaan di bahagian buku lali.

Namun mereka tetap bangun meneruskan perjuangan namun tidak banyak pergerakan dapat dilakukan Pearly selepas itu sebelum dia dan Thinaah terpaksa akur tewas 9-21.

"Di set kedua, ketika mata penting sukar untuk diperkatakan. Bukan mereka tidak bermain dengan bagus atau dengan betul di 'deuce point'. Kita tak boleh cakap apa ketika mata penting itu.

"Pada permulaan set penentuan ada sedikit tekanan, mungkin disebabkan kalah pada set kedua dan kemudian mula timbul kacau. Apapun, kecederaan (Pearly) tidak serius. Apabila kita pulang nanti, kita akan fokus untuk Sukan Asia," kata Thien How.

Kekalahan Pearly-Thinaah itu menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pasangan berkenaan kini memihak kepada beregu Indonesia itu dengan tiga kemenangan berbalas dua.

Sebagai rekod, ini adalah pentas final kedua buat Pearly-Thinaah musim ini selepas muncul naib juara Masters Malaysia, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 1:04 PM