EE Yi (kiri)-Yew Sin sudah beri aksi yang maksimum. FOTO Ihsan Badminton Photo
EE Yi (kiri)-Yew Sin sudah beri aksi yang maksimum. FOTO Ihsan Badminton Photo
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki profesional negara, Rosman Razak mengakui anak buahnya, Teo Ee Yi yang berpasangan bersama Ong Yew Sin masih belum cergas sepenuhnya selepas pulih dari kecederaan buku lali yang dialaminya pada kejohanan Masters Malaysia.

Menurut Rosman, bagaimanapun pujian harus diberikan kepada pasangan itu yang berjaya menampilkan aksi yang hebat meskipun gagal melangkah ke pusingan separuh akhir Terbuka Singapura.

"Kalau lihat perlawanan mereka di suku akhir menentang pasangan Korea memang agak sengit. Mereka (Yew Sin-Ee Yi) sudah beri aksi yang maksimum pada perlawanan itu.

"Mungkin kemenangan masih belum berpihak kepada kita sebab Ee Yi juga masih belum cergas sepenuhnya selepas Masters Malaysia.

"Saya tidak mahu komen banyak berkenaan aksi mereka kerana mereka telah beri 200 peratus dalam gelanggang. Bagi saya jika mereka sudah memberikan yang terbaik untuk saya tiada apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Sebelum ini, hasrat Yew Sin-Ee Yi untuk beraksi di separuh akhir Terbuka Singapura tidak kesampaian apabila akur tewas kepada pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Kim Won Ho di peringkat suku akhir.

Walaupun pasangan profesional ini pada awalnya dilihat mempunyai kelebihan apabila kerap mendahului permainan, namun kekentalan mental beregu Korea itu menafikan impian Ee Yi-Yew Sin untuk ke separuh akhir apabila menumpaskan wakil negara dengan keputusan 22-20, 24-26, 22-24 selepas 89 minit bertarung.

Dalam pada itu, Rosman mengakui kekalahan kepada gandingan Korea Selatan itu memberikan sedikit kekecewaan kepada anak buahnya selepas dilihat berpotensi untuk menang aksi berkenaan.

Justeru katanya, dia akan duduk berbincang bersama Yew Sin dan Ee Yi bagi memastikan mereka akan dapat bangkit semula dengan lebih baik pada kejohanan Terbuka Indonesia yang bakal membuka tirainya minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 3:18 PM