YEW Sin (kanan) dan Ee Yi disenaraikan dalam skuad negara ke BAMTC 2023 di Dubai. FOTO ARKIB NSTP
YEW Sin (kanan) dan Ee Yi disenaraikan dalam skuad negara ke BAMTC 2023 di Dubai. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu profesional negara, Rosman Razak ternyata berpuas hati dengan sesi latihan dilalui anak buahnya, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam skuad kebangsaan sebagai persiapan ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023.

Menurutnya, sepanjang minggu ini, Yew Sin-Ee Yi berjaya melalui latihan dengan positif bersama bekas rakan sepasukan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum skuad itu berlepas ke Dubai, Sabtu ini.

"Semuanya OK sebab mereka pernah berada di bawah satu bumbung sebelum ini. Acara berpasukan memang memerlukan pemain untuk 'diadun' bersama," kata Rosman yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih beregu skuad kebangsaan.

Ujarnya, berdasarkan pemerhatian sepanjang kem latihan BAMTC, tidak ada perkara susah buat Yew Sin-Ee Yi walaupun sekarang anak buahnya itu bergerak secara profesional.

"Mereka sudah kenal antara satu sama lain, jadi hanya perlu berlatih seperti biasa. Apa pun saya lihat dari segi latihan memang berkualiti dan menunjukkan tanda positif.

"Saya rasa kejohanan ini bukan sahaja peluang baik buat Yew Sin-Ee Yi, tetapi semua pemain. Ia disebabkan mereka mendapat panggilan skuad kebangsaan.

"Bila bercakap mengenai skuad kebangsaan, sudah tentu mana-mana pemain akan berasa bangga.

"Apa yang penting sekarang ini bila sudah berada dalam skuad kebangsaan semua harus bersedia untuk disuruh bermain," kata Rosman yang dijangka turut menyertai skuad negara ke Dubai.

Ditanya sama ada anak buahnya bersedia sekiranya bakal dipisahkan buat sementara waktu untuk kejohanan itu, Rosman mengakui semuanya terpulang kepada skuad itu sendiri.

"Semuanya terpulang kepada skuad berkenaan. Biar barisan kejurulatihan menentukan. Bila bercakap mengenai strategi ia sudah pasti akan melangkaui semuanya," kata Rosman.

Selain Yew Sin-Ee Yi, beregu lelaki dalam skuad berkenaan ialah pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

BAMTC akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini dan jika layak ke separuh akhir, ia bakal mengesahkan slot automatik ke saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China pada Mei depan.

Pada kempen BAMTC kali ini, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE.

Juara serta naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir sebelum undian semula dilakukan bagi menentukan lawan untuk perebutan tempat ke separuh akhir.

Sejak BAMTC dianjurkan pada 2017, pasukan negara tidak pernah berjaya menamatkan saingan di kelompok empat terbaik dengan pencapaian tertinggi adalah mara ke suku akhir.

Malaysia kali ini menyenaraikan, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao bagi perseorangan lelaki selain Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 4:56 PM