YEW Sin (kiri) dan Ee Yi kandas di suku akhir. FOTO Effendy Rashid
YEW Sin (kiri) dan Ee Yi kandas di suku akhir. FOTO Effendy Rashid
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Terbuka Malaysia yang baru dinaikkan status Super 1000 tahun ini seakan hilang seri apabila tiada wakil negara berjaya mara ke separuh akhir.

Percubaan beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk meneruskan cabaran pemain Malaysia tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia sebentar tadi.

Menang di set pertama hanya memberi harapan palsu buat ribuan peminat negara di Axiata Arena apabila Yew Sin-Ee Yi yang menghuni ranking tangga ketujuh dunia tumpas 21-14, 16-21, 17-21.

Untuk rekod, kedua-dua beregu pernah bertemu sebanyak sembilan kali sebelum ini dengan gandingan negara jiran itu melakar enam kemenangan, namun pertemuan terakhir pada Jelajah Dunia Akhir 2022 Disember tahun lalu memihak kepada Yew Sin-Ee Yi.

Pada aksi separuh akhir esok, gandingan nombor tujuh dunia itu dijadualkan bertemu beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang menewaskan satu lagi wakil Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-13, 19-21, 21-11.

Sebelum itu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turun ke gelanggang pada jam 3 petang, namun mereka tumpas kepada pasangan berpengalaman dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 19-21, 9-21.

Beberapa nama besar seperti Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Pearly Tan-M Thinaah sebelum itu sudah pun mengucapkan selamat tinggal di kejohanan ini apabila terkandas di pusingan pertama dan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 9:59 PM